Zila Bakarin jawab kontroversi



artis-seksi

 Zila Bakarin jawab kontroversi

SELAMA Zila Bakarin, 39, membabitkan diri dalam bidang lakonan, tidak ada apa yang sering dikaitkan dengannya selain daripada soal penampilan yang seksi.


Bagaimanapun baru-baru ini, heboh cerita yang mendakwa dia cuba memburukkan nama produser Tasha Aziz yang kononnya tidak melunaskan bayaran lakonan kepada beberapa rakan artis.

Kebetulan, Zila bersama Kathy Azean dan Aleza Shahdan adalah di antara barisan pelakon yang tidak mendapat bayaran sebanyak 40 peratus selepas selesai berlakon drama Apam Lemak Manis, terbitan Temenggong Pictures Sdn. Bhd.



Hits menghubungi Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin yang sedang menjalani penggambaran drama Buaian Kasih sebanyak 13 episod, untuk mengetahui kesahihan cerita berkenaan.

Hits: Apa cerita sebenarnya ni Zila? Biar benar Zila cuba buat kecoh?

Zila: Untuk pengetahuan semua, bukan saya yang bercerita atau keluarkan kenyataan yang mendakwa pelakon drama Apam Lemak Manis tidak mendapat bayaran selepas penggambaran selesai. Cubalah fikir cara logik, berapa ramai yang berlakon drama itu dan berapa ramai pula kru yang terlibat.

Dalam ramai-ramai orang, nama saya pula yang dituding. Sudah alang-alang diburukkan, biar saja saya cerita. Memang benar saya ada telefon produser tanya tentang bayaran tetapi tidaklah sampai bercerita kepada orang luar.

Apa yang kami bualkan bersama tidak pernah saya sebarkan kepada orang luar.

Tetapi bila wajahnya ditempel dalam ruangan pojok sebuah akhbar dengan tajuk produser liat bayar, terus kata saya yang buat onar.

Bila Zila telefon dia?

Selepas selesai 30 hari penggambaran dan pada tarikh pembayaran. Drama itu penggambarannya pada Januari lalu. Setiap kali berlakon, pelakon akan dibayar 30 peratus dahulu apabila bersetuju. Kemudian sewaktu penggambaran akan dibayar lagi 30 peratus dan selepas tiga minggu selesai penggambaran akan dibayar penuh.

Masalahnya, pihak produksi yang buat kontrak dan saya sebagai orang yang berhak untuk mendapat bayaran selepas bekerja. Maka. saya telefonlah dia tanya bila boleh dapat bayaran. Itu pun saya telefon beberapa hari selepas tempoh yang ditetapkan untuk menerima bayaran.

Masa panggilan pertama, biasalah pelbagai alasan, antaranya suami dia tidak sihatlah. Okey, sebagai seorang isteri saya faham keadaannya. Tidak lama kemudian, saya buat panggilan susulan tanya lagi, dia kata tidak ada wang. Sedangkan yang saya tahu produksinya sedang melakukan dua penggambaran berbeza. Kalau tak ada duit, macam mana boleh buat penggambaran. Perangainya yang dolak-dalik itu memang buat saya marah.

Sebelum ini Zila pernah berlakon dengan Temenggong Pictures?

Tak pernah, ini yang pertama dan kes begini juga yang pertama kali berlaku dalam karier saya sebagai pelakon.

Jadi apa tindakan Zila seterusnya?

Saya hanya mahukan hak saya dan begitu juga pelakon lain. Kami bekerja untuk beri anak-anak makan. Kalau dia kata dia susah, kami pun susah. Nasihat saya hanya satu, selesaikan masalah yang dia sendiri timbulkan ini dulu.

Saya sedih kerana selama membabitkan diri dalam bidang seni, belum pernah saya alami masalah seperti ini walaupun produksi itu kecil kerana mereka tahu bayaran itu adalah sumber pendapatan orang seperti saya ini.


Sumber: Utusan Online


0 comments :